Karas, emas belantara
Oleh Azman Mahmood - bharian2010/06/06
JIKA masih ada rahsia hutan kita yang belum dibongkar sepenuhnya, ia adalah pokok karas yang sebenarnya manikam alam yang menunggu jauhari untuk meraih manfaatnya.
Karas yang mengeluarkan gaharu, antara bahan penting dalam penghasilan pewangi dalam banyak keadaan boleh disifatkan sebagai emas hutan.
Sejak berkurun lamanya di seluruh dunia, manusia sudah lama mencari hasil hutan iaitu gaharu daripada pokok karas dan di Malaysia kegiatan itu dilakukan secara kecil-kecilan dari pokok yang tumbuh liar di hutan.
Sayangnya, tanpa disedari kegiatan mencari gaharu di hutan kita sebenarnya lebih giat dilakukan rakyat asing, terutama di negeri yang bersempadan dengan Thailand kerana mereka lebih lama tahu mengenai nilai komersial tumbuhan ini. Apa tidaknya, sekilogram gaharu yang bermutu boleh mencecah harga antara RM14,000 hingga RM25,000 mengikut gred yang ditentukan Persatuan Gaharu Malaysia.
Begitulah hebatnya nilai mutu manikam gaharu yang tiada tolok bandingnya sehingga mengatasi harga kayu cengal yang ketika ini sekitar RM7,000 setan. Malah, minyak gaharu dihasilkan menerusi proses penyulingan untuk digunakan sebagai bahan campuran pembuatan minyak wangi mampu dijual pada harga RM300 setiap satu tola (12 ml), manakala di pasaran antarabangsa mencecah RM1,000 hingga RM1,500 mengikut gred. Selain itu air sulingannya boleh dijual sehingga RM30 seliter yang semakin popular untuk kegunaan mandian di spa.
Lantaran itu, sudah tiba masa pokok unik ini ditanam secara komersial dengan memanfaatkan kaedah sains yang semakin bertambah baik dewasa ini untuk membolehkan mereka yang tekun mengusahakannya meraih pulangan yang lumayan dalam tempoh yang lebih cepat.
Pengarah Perhutanan Terengganu, Nor Akhirrudin Ahmad, berkata penemuan Agensi Nuklear Malaysia yang menghasilkan inokulen khas untuk disuntik pada pokok karas bagi mempercepatkan proses tindak balas penghasilan gaharu wajar dimanfaatkan sepenuhnya semua pengusaha.
Karas adalah sejenis pokok yang mempunyai daya tahan unik terhadap serangan luar untuk menyakitinya. Justeru, gaharu adalah enzim yang dikeluarkan karas sebagai elemen pertahanan diri. Justeru, inokulen yang dihasilkan agensi itu bertindak sebagai penyerang bagi 'menyakitkan' karas. Penggunaan inokulen khas ini boleh disuntik pada karas yang mencecah saiz ukur lilit antara 15-20 sentimenter (sm).
Industri gaharu dan penanaman pokok karas ini sudah lama diusahakan secara komersial di beberapa negara jiran seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia.
Malah, mengikut sejarah perdagangan gaharu ini sudah bermula di Tanah Melayu seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi apabila ramai pedagang Arab mendapatkan bekalan gaharu dan dihantar ke Tanah Arab. Masyarakat Arab dikatakan menggunakan kayu gaharu untuk mendapatkan aroma wanginya apabila dibakar dan mereka sanggup membeli walaupun harganya mahal kerana ia juga menunjukkan status kedudukan kemewahan orang Arab apabila membeli gaharu bermutu.
Di negara ini industri gaharu dan penanaman pokok karas secara komersial baru bermula terutama di Pahang dan Johor, manakala di Kelantan dan Terengganu diusahakan secara kecil-kecilan hasil inisiatif Jabatan Perhutanan yang mengadakan kursus dan latihan penanaman dalam kalangan penduduk luar bandar. Bagaimanapun, jumlah penanaman yang ada masih jauh daripada memenuhi keperluan gaharu yang mencecah lebih 200,000 kilogram setahun.
Sehubungan itu, usaha untuk mengkormersialkan industri gaharu sebagai satu sumber ekonomi baru sedang giat dijalankan dan menerusi Program Merakyatkan Tanaman Karas yang diperkenalkan Jabatan Perhutanan Terengganu, Kini 265 penduduk negeri itu menyahut seruan untuk terbabit sama. Menerusi projek itu, setiap peserta dibekalkan dengan 20 anak pokok karas dan diberikan pendedahan serta latihan berkaitan penjagaan dan penanaman pokok itu sehingga matang dan mampu menghasilkan gaharu.
Di Malaysia ada lima spesies pokok karas daripada 25 spesies yang ada di seluruh dunia daripada keluarga thymelaeceae iaitu aquilaria malaccensis, hirta, baccariana, rostrata dan microcarpa. Bagaimanapun, daripada lima spesies aquilaria itu hanya spesies malaccensis dan hirta yang taburannya masih banyak di hutan negara ini, manakala spesies rostrata boleh dikatakan hampir pupus.
Justeru, bagi membendung penuaian berlebihan daripada hutan tanpa kawalan pokok ini sudah disenaraikan di bawah Cites II yang mana dagangannya hendaklah dilaksanakan menerusi permit yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan.
Bagi seorang pengusaha persendirian, antara halangan terbesar mengusahakan penanaman karas secara komersial ialah modal. Seperti yang dilalui Amran Ahmad, 35, dari Senggarang, Batu Pahat, Johor, beliau membelanjakan wang simpanan lebih RM25,000 untuk menanam karas secara berselang dengan sawit.
"Selain modal untuk membeli anak benih yang berharga antara RM25 hingga RM50 sepokok, pengusaha juga berdepan dengan kekangan ilmu kerana peluang mendapat pendedahan mengenai penanaman pokok ini masih terbatas," katanya yang mengakui belajar menerusi pengalaman kenalan dan maklumat dari internet.
Sebenarnya potensi karas bukan saja terhad kepada pengeluaran gaharu, tetapi kajian Jabatan Perhutanan Terengganu juga mendapati daun pokok itu sesuai untuk penghasilan teh herba yang dikatakan baik untuk kesihatan terutama bagi mengekang penularan darah tinggi dan kencing manis.
No comments:
Post a Comment