Pokok karas menghasilkan bahan untuk industri minyak wangi dijual antara RM15,000 hingga RM20,000 sekilogram
ANAK pokok karas atau gaharu setinggi 20 sentimeter (sm) yang dijual pada harga RM1.60 sepokok dua tahun lalu kini mencecah RM9, gara-gara minat orang ramai menanam pokok yang dikatakan boleh memberi pulangan RM18,000 sepokok.
Karas atau nama saintifiknya, Aqularia malaccensis yang boleh mencapai ketinggian lebih 36 meter, mengeluarkan damar atau rasin yang diperlukan dalam penghasilan minyak wangi, manakala kayu dan kulitnya diproses menghasilkan gaharu.
Damar yang dihasilkan oleh pokok karas kini digredkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dengan gred Super A, A, B, C serta D, dan harga Super A dijual antara RM15,000 dan RM20,000 sekilogram di pasaran antarabangsa.
Bukan setakat damar, batang dan kulit boleh menghasilkan wang, malah daun karas dikatakan boleh direbus dan diminum bagi mencegah penyakit kanser.
Menyedari pokok karas mempunyai nilai komersial, Jabatan Perhutanan Terengganu mempelopori tanaman secara ladang di kawasan 47 hektar di Hutan Simpan Merchang, Marang bagi menggantikan pokok Akasia.
Penolong Pengarah Silvikultur dan Perlindungan Hutan Terengganu, Mohd Radhi Chu Abdullah, berkata karas mempunyai potensi tinggi sekiranya diusahakan secara komersial.
“Sejak dua tahun lalu Pejabat Hutan mengumpul banyak maklumat mengenai kaedah penanaman, kesesuaian tanah, kawalan penyakit, taburan hutan dan cara mengatasi penyakit yang dilakukan dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan Pejabat Pertanian.
“Maklumat ini boleh dikongsi jika orang ramai berminat mempelajari cara mengusahakan tanaman ini,” katanya ketika menyampaikan taklimat kepada Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Seri Azahar Muda, di sini baru-baru ini.
Mohd Radhi berkata, proses mengumpul damar karas boleh dilakukan secara semula jadi dengan mematikan pokok mati melalui kaedah melukakannya atau suntikan inokulen.
1 - Minyak gaharu yang sudah diasingkan perlu dijemur.
2 - Kerja menebuk batang pokok karas untuk menghasilkan gaharu.
Katanya, teknik inokulen boleh dilakukan apabila pokok mencapai usia lima tahun atau diameter pokok berukuran 20 sm.
“Kedalaman optimal perlu sesuai dengan diameter batang dan biasanya sekitar lima sm.
“Setiap batang pokok akan ditebuk lubang dan dimasukkan spora yang akan menghasilkan damar dan lubang itu akan ditutup menggunakan lilin dan hanya dikeluarkan selepas dua tahun,” katanya.
Mohd Radhi berkata, minyak damar juga boleh diperolehi secara penyulingan dengan merebus kulit dan kayu damar yang diracit.
Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Petroleum, Pertanian dan Perikanan Terengganu, Datuk Mamat Ghazalee Abdul Rahman, 59, berkata pokok karas mudah dijaga dan tidak memerlukan kos penjagaan yang tinggi.
Beliau berkata, 1,000 pokok yang ditanamnya setahun lalu kini mencapai ketinggian 150 cm dan tidak diserang sebarang penyakit.
“Mereka yang ingin menanam pokok ini di Pantai Timur perlu memilih masa yang sesuai iaitu sekitar bulan Julai atau Ogos iaitu sebelum musim tengkujuh bagi membolehkan pokok ini tidak menghadapi masalah ketika musim kering.
“Selepas enam bulan yang ditanam, pokok perlu dipangkas dan dijaga secara agronomik bagi membolehkan pokok mencapai ketinggian maksimum,” katanya yang menanam pokok karas di dusun seluas lapan hektar.
Mamat Ghazalee berkata, pokok karas yang ditanam dalam dusun yang sudah matang mudah dijaga dan membesar dengan cepat kerana tidak terdedah terus kepada terik matahari.
1 - Minyak gaharu yang sudah diasingkan perlu dijemur.
2 - Kerja menebuk batang pokok karas untuk menghasilkan gaharu.
FAKTA
# Berasal dari perkataan Sansekerit iaitu `agaru’ yang bererti kayu berat (tenggelam) - menghasilkan produk damar atau resin dengan aroma harum apabila dibakar. Di negara Asia terdapat lebih 15 spesies gaharu tetapi yang dikenali di pasaran ialah agar wood, aloes wood dan eagle wood.
# Analisis kimia mendapati gaharu mengandungi agarospiral, jinkohol-eremol yang menghasilkan aroma gaharu untuk kegunaan minyak wangi. Komponen methoxyphenylethyl chromone pula menghasilkan bauan yang harum apabila gaharu dibakar.
Kegunaan
# Gaharu digunakan untuk keagamaan Cina, Unanai, Ayuravedik dan Tibet. Di Timur Tengah gaharu dibakar untuk mengharumkan rumah.
# Daun, akar dan kulit gaharu digunakan sebagai ubat anti malaria sementara air sulingan penghasilan gaharu dimasukkan perubatan selepas bersalin, antibiotik, antikanser, penyakit kewanitaan, demam, sakit badan dan sakit perut.
FAKTA NOMBOR
40 sentimeter - Ukur lilit
20 tahun - Usia mengeluarkan hasil
36 meter - Ketinggian boleh dicapai
No comments:
Post a Comment