RM420 untuk setiap 12 gram
Mazalan Mohamed dari Gua Musang menjual minyak gaharu pada harga RM420 untuk 12 gram di pasaran Dubai dan Bahrain.
TATKALA menaip perkataan 'gaharu' di laman web, bersusun alamat laman web dari Indonesia pada skrin komputer. Masing-masing mempromosikan minyak gaharu atau lebih dikenali sebagai agarwood oil di peringkat dunia.
Minyak yang menghasilkan aroma yang mewangi ini mendapat permintaan yang amat tinggi di Timur Tengah, terutamanya Arab Saudi dan Dubai, berikutan adat masyarakat di sana yang gemarkan wangi-wangian. Ia sama ada dicampur dengan minyak lain untuk menghasilkan minyak wangi atau minyak atar, atau dijual tulen.
Malaysia sebaliknya lebih cenderung untuk mengeksport hasil kayu ini dalam bentuk kepingan kayu karas atau damar gaharu berbanding minyak yang diekstrak.
Malah sehingga tahun 1997, Lembaga Perkayuan Malaysia (MTC) melaporkan bahawa negara ini pernah mengeksport gaharu dalam bentuk kepingan bernilai lebih RM50 juta dalam tempoh lima tahun.
"Saya sudah terlibat dalam perniagaan karas-gaharu ini sejak 18 tahun lalu. Tujuh tahun pertama saya mulakan dengan menjual kepingan kayu karas dan damarnya sahaja, sama ada ke pasaran Thailand ataupun tempatan.
"Tetapi setelah melihat cara kayu-kayu ini diproses serta pulangan yang cukup lumayan daripada penjualan minyaknya, saya memutuskan untuk pergi lebih jauh," ujar Mazalan Mohamed, 40, yang ditemui di kilang memproses minyak gaharunya yang terletak di Kampung Star Baru, Gua Musang, Kelantan.
|
Mesin pengisar yang didatangkan dari Thailand |
Mazalan turut beroperasi tanpa orang tengah, selain mengubah pendekatan perniagaan dengan menjual minyak gaharu berbanding sekadar kepingan kayu karas.
Jika sebelum ini Mazalan hanya memenuhi permintaan Thailand dan tempatan, kini minyak gaharu keluaran PMW Enterprise sudah berada dalam pasaran Dubai, Arab Saudi dan Bahrain.
Menjenguk kilang-kilang pemprosesannya, bahang yang berkuap di dalam dirian sederhana itu tidak sedikit pun melunturkan semangat krew EKSTRA untuk meninjau lanjut.
Kedatangan yang disambut dengan pemandangan dua wanita berusia yang sedang mencincang kepingan kayu karas yang memenuhi ruang lantai menambah lagi keinginan untuk meneroka.
Biarpun bertubuh kurus dan sudah berusia, kedua-dua wanita ini pantas saja melakukan kerja. Sekali-sekala melemparkan senyuman ke arah kami, tangan mereka terus menghentak parang dalam genggaman.
Potongan kayu karas itu kemudiannya dimasukkan ke dalam sebuah mesin pengisar yang berdiri tegap di satu sudut. Kongsi Mazalan, mesin itu berharga tidak kurang daripada RM12,500 sebuah.
"Hasil kisaran kemudiannya diperam di dalam air selama dua minggu. Selepas itu ia akan dikeringkan. Untuk karas gred rendah, kami asingkan untuk dijual bagi membuat colok.
"Hasil daripada karas gred bermutu lebih tinggi akan dimasak di dalam dapur antara lima hingga 10 hari, bergantung kepada gred, untuk mengekstrak minyaknya," jelas anak kelahiran Kampung Chasi, Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan ini.
Bahagian pemprosesan yang menggunakan teknologi yang 'diimport' dari Thailand ini memperlihatkan 60 dapur berbaris panjang dengan setiap satunya dilengkapi tong gas sendiri. Kata Mazalan, kos keseluruhan pembinaan dapur ini ialah RM50,000.
"Satu pusingan memasak serbuk kayu karas untuk gred C rendah, yang mengambil masa lima hari, menghabiskan sehingga dua tong gas 16.5 kilogram.
"Tetapi untuk gred C tinggi dan ke atas yang dimasak sehingga 10 hari, empat tong gas yang sama diperlukan," tambah bapa kepada empat orang anak ini.
KOS pembuatan dan pemasangan dapur ini mencecah RM50,000.
Selepas lima hari, minyak gaharu akan terkumpul di dalam tabung suling dan terapung di lapisan atas permukaan air. Ekstrak ini akan 'dikutip' pada setiap lima hari mengikut jadual yang ditetapkan.
Mendirikan tiga buah kilang, dengan sebuah di Bukit Beruntung, Selangor, Mazalan berkata pemprosesan dijalankan 24 jam sehari. Ini kerana jika api dapur dimatikan, proses pemanasan akan menggunakan lebih banyak gas dan memakan masa.
Untuk tujuan eksport, Mazalan menyimpan minyak gaharu yang telah dikumpul ke dalam botol aluminium bermuatan 1.2 liter. Dalam sebulan, dapur itu dapat menghasilkan enam botol aluminium minyak gaharu.
"Minyak ini dijual pada harga RM420 setiap 12 gram, iaitu menyamai satu botol tolal.
"Kami dapat menjual pada harga ini kerana kami dapat menyediakan minyak gaharu yang pekat sebagaimana diminta pembeli," katanya yang menjelaskan, semakin pekat minyak gaharu, semakin tinggi nilainya.
No comments:
Post a Comment