Pages

Sunday, June 27, 2010

SUMBER ASLI: Minyak wangi diperoleh daripada pokok gaharu mampu mencapai harga antara RM18,000 hingga RM45,000 sekilogram bagi gred yang bermutu tinggi.

TEKNIK: Usaha menghasilkan minyak gaharu bermula dengan kerja menakik pokok karas secara menebuk lubang bagi menggalakkan pembentukan resin.
Minyak gaharu dihasilkan daripada spesies tumbuhan meliar dapat permintaan tinggi sebagai bahan minyak wangi

KOTA BHARU: Pada 2006, pasaran domestik barangan kosmetik dan dandanan diri termasuk minyak wangi mencapai nilai RM3 bilion, membuktikan produk terbabit menjadi sebahagian keperluan asas utama dalam gaya hidup pengguna masa kini.
Malah pengguna Amerika Syarikat (AS) membelanjakan lebih USD5 bilion setahun bagi membeli pelbagai minyak wangi, membuktikan permintaan kepada bahan asas produk itu mempunyai masa depan yang luas.
Di sebalik permintaan tinggi terhadap bahan pewangi itu, ramai yang tidak menyedari bahan asas minyak wangi sebenarnya adalah minyak gaharu yang diperoleh daripada pokok karas atau depu yang banyak tumbuh meliar di negara ini tetapi kurang diberi perhatian kerana kekurangan pengetahuan mengenainya.
Selain tumbuh meliar, usaha menanam pokok gaharu masih baru di negara ini, meskipun sudah lama popular di negara serantau seperti Indonesia, Thailand dan Kemboja yang turut disokong kuat pelbagai agensi negara terbabit menerusi modal dan teknologi.
Minyak gaharu yang menjadi asas penghasilan minyak wangi mempunyai permintaan berterusan pada harga yang tinggi mencapai RM18,000 sekilogram bagi gred bermutu tinggi dikenali sebagai Double Super.

SUMBER ASLI: Minyak wangi diperoleh daripada pokok gaharu mampu mencapai harga antara RM18,000 hingga RM45,000 sekilogram bagi gred yang bermutu tinggi.
Malah, ada kalanya harga boleh mencecah RM45,000 sekilogram, bergantung kaedah penggredan kualiti kayu dan minyak selain berdasarkan permintaan antara pembekal dan pembeli.
Sejak kebelakangan ini, minyak gaharu tempatan semakin mendapat sambutan sama ada bagi pasaran tempatan atau antarabangsa, malah ramai pengusaha terpaksa menolak permintaan kerana kekurangan bekalan. Ketika ini, pengeluaran minyak gaharu sedunia dianggarkan hanya mampu memenuhi sekadar 20 peratus permintaan pasaran.
Di Malaysia, ada lima spesies pokok karas iaitu Aquilaria Hirta, Aquilaria Beccariana, Aquilaria Rostrata, Aquilaria Microcarpa dan Aquilaria Melaccensis.
Antara pengeluar minyak gaharu tempatan ialah Agarwood Industry (Kelantan) Sdn Bhd yang beroperasi di Kelantan dan kini berusaha memenuhi permintaan tempatan dan antarabangsa.
Pengarah Urusan Agarwood, Zaidi Hassan, berkata setakat ini, Agarwood yang beroperasi sejak tahun lalu, masih pada peringkat awal penghasilan minyak gaharu walaupun sudah ada syarikat meminta bekalan disegerakan.
“Ada syarikat sudah meminta Agarwood membekalkan sekilogram minyak gaharu, sedangkan syarikat baru beroperasi dan hanya berupaya menghasilkan kurang daripada permintaan itu.
“Bagi memenuhi permintaan itu, Agarwood berusaha memenuhinya dengan menambah dapur memproses kayu gaharu daripada 11 masa kini kepada 40 menjelang tahun depan,” katanya.
Harga minyak gaharu yang mahal sememangnya berbaloi kerana proses penghasilannya yang rumit. Usaha menghasilkan minyak gaharu bermula dengan kerja menyakitkan pokok karas yang berusia lebih lima tahun dengan ukur lilit antara 50 hingga 60 sentimeter untuk menggalakkan pembentukan resin (bahan yang mengeluarkan minyak gaharu).
Secara tradisionalnya, pokok karas ‘disakiti’ secara tebukan sama ada menggunakan kapak, besi panas atau dawai berduri. Kini kaedah lebih saintifik dilakukan iaitu kaedah mekanikal secara menebuk batang pokok menggunakan gerudi, kimia dan biologikal. Kaedah ini menjadikan pokok berupaya menghasilkan teras yang mampu mengeluarkan minyak gaharu bermutu.
Pokok karas yang sudah dirawat akan menghasilkan kayu untuk diekstrakkan bagi menghasilkan minyaknya melalui beberapa proses. Kayu berkenaan akan dikisar menjadi halus dan direndam untuk tempoh tertentu bagi memisahkan sel parenkima dan kelenjar minyak sebelum direbus dan proses penyulingan bagi mendapatkan minyaknya.
Zaidi berkata, minyak gaharu bermutu tinggi mengeluarkan bau manis antaranya seakan bau madu lebah dan bau masam-manis seperti buah plum, manakala minyak yang mengeluarkan bau seperti kayu direndam atau kayu reput dianggap gred rendah.

Katanya, ada syarikat yang mencampurkan kayu gaharu dengan kayu cendana ketika proses rebusan untuk memperoleh minyak yang banyak dan ini menjadikan minyak gaharu tidak tulen.
“Bagi pembeli minyak gaharu, mereka dapat mengenal pasti ketulenan sama ada melalui kaedah bau atau menggunakan kaedah lain. Agarwood sentiasa memastikan minyak gaharu yang dihasilkannya tulen dengan memastikan hanya kayu gaharu tulen saja digunakan menghasilkan minyak berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, memandangkan permintaan semakin meningkat, syarikat berusaha meningkatkan jumlah pokok melalui kaedah membeli pokok karas daripada penduduk kampung dengan bayaran RM500 sepohon.
“Setakat ini, Agarwood sudah membeli kira-kira 200 pokok dari penduduk kampung negeri ini dan kebanyakannya membabitkan kawasan Koridor Depu iaitu di sekitar jajahan Kota Bharu.
“Dijangkakan apabila projek depu yang dilaksanakan kerajaan negeri beroperasi sepenuhnya di Gua Musang, syarikat berupaya meningkatkan pengeluaran minyak gaharu sekali gus mampu memenuhi permintaan pasaran tempatan serta antarabangsa,” katanya.

No comments:

Post a Comment